Thursday, October 23, 2008

anugerah SKRIN AMATUR @ MURAI 2008

KUALA LUMPUR, 22 OKT 2008: Filem Satu arahan Zulman Zeki Supardi, 22, (gambar atas kiri) diumumkan sebagai Filem Terbaik dalam pertandingan filem pendek online pertama, Skrin Amatur@Murai 2008 anjuran murai.com.my.


Keputusan ini diumumkan pada majlis Malam Skrin Amatur@Murai 2008 yang berlangsung di Restoran Lemon, Mines Shopping Centre, Seri Kembangan, Selangor, malam tadi, 21 Oktober 2008.


Dengan kejayaan itu, Zulman yang juga bekas pelajar Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara), menerima wang tunai RM3,000, trofi serta Skim Latihan Perfileman dengan Metrowealth International Group (MIG) yang juga salah satu penaja utama pertandingan itu.

Zulman menerima hadiah itu daripada Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Haji Zulkifli Ab Wahab. FINAS juga adalah penganjur bersama Skrin Amatur@Murai 2008.


Tempat kedua Filem Terbaik dibolot oleh filem Setitik Tompok Hitam arahan Al Mubarakah Suleiman. Ia dibintangi oleh Ida Nerina, Nor Aziah Abu Bakar dan Abu Bakar Omar. Filem ini mengisahkan tentang bahana sumbang mahram yang berlaku dalam sebuah keluarga. Pemenangnya menerima wang tunai RM2,000 dan trofi.


Tempat ketiga Filem Terbaik pula diraih Satelit Buruk arahan pelajar dari Sabah, Jamie S Roscom. Ia dibintangi barisan pelakon amatur seperti Rahmah Jaafar, Rosnah Mohd Saad dan Nor'aini Baharudin. Filem ini mengisahkan tentang sikap suka mengumpat di kalangan masyarakat di sebuah kampung yang akhirnya membawa kesan buruk. Dengan kejayaan itu, Jamie menerima wang tunai RM1,000 dan trofi.


Bagi kategori Filem Pendek Paling Popular pula, ia menepati ramalan dan pilihan ramai pengunjung portal ini apabila dimenangi oleh Stages. Pengarahnya, Mohd Hafiz Naslallizi, yang baru berusia 20, berjaya membawa pulang sebuah trofi dan wang tunai RM2,000.


Filem Stages diminati ramai kerana menyelitkan penggunaan kesan khas dan memaparkan cerita komedi tentang seorang lelaki yang sedang bermimpi.


p.s: alhamdulillah... :)

No comments: